Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut meriah

Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut meriah

ROSNAN Nordin (berdiri, sembilan dari kanan) bergambar bersama pelakon selepas menjayakan pementasan teater muzikal, Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pementasan teater muzikal, Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, semalam dihadiri lebih 1,000 penonton.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN Terengganu itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu yang bertujuan mengangkat martabat karya agung tokoh seni tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Rosnan Nordin berkata, pementasan teater muzikal itu adalah antara program yang bertujuan menyemarakkan lagi karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung di seluruh negara.

Menurutnya, ia adalah satu program di bawah inisiatif Belanjawan 2024 iaitu memperkukuhkan perpaduan dan keselamatan (sukan dan budaya sebagai wahana perpaduan).

“Jasa dan sumbangan J.M Aziz dalam dunia kesusasteraan negara sangat besar dan pementasan teater muzikal ini adalah satu penghormatan kepada Allahyarham.

“Karya sastera yang dihasilkan sangat dekat dengan kehidupan dan alam terutamanya laut dan pementasan ini adalah kali pertama yang mempersembahkan semuanya di atas satu pentas,” katanya.

Sebanyak 10 puisi dan tiga lagi karya J.M Aziz dipersembahkan dalam teater muzikal tersebut yang menampilkan barisan artis seperti Kopratasa, Anis Suraya, Azian Mazwan Safuan dan Tuan Izzat Izzudin.

Selain itu, lebih 60 karya sastera J.M. Aziz turut dipersembahkan dalam persembahan utama dan lapan aktiviti sisipan yang berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Antaranya pertandingan deklamasi sajak, puisi, klinik puisi, pertandingan busking dan pertandingan solekan Pengantin Laut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pementasan teater muzikal J.M Aziz juga secara tidak langsung dapat melahirkan lebih banyak bakat penyair muda dan penggiat seni kebudayaan di Malaysia.

“Pada malam ini (semalam), penonton sangat fokus dengan pementasan teater muzikal dan menyelami kehidupan J.M Aziz serta perjalanan hidupnya dalam melahirkan karya-karya agung yang sangat berprestij.

“Harapan kita, generasi muda akan lebih berminat dengan aktiviti seni dan kebudayaan melalui program yang telah diaturkan oleh JKKN bagi mengangkat martabat karya sastera ini.

“Selain Terengganu, negeri-negeri lain juga akan mempersembahkan satu karya agung yang dominan di negeri mereka dan pementasannya dijadualkan berakhir pada hujung Disember depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya