Mahu masuk hutan kena berkumpulan

Mahu masuk hutan kena berkumpulan

SIK Choon Foo (tiga dari kiri) mengadili replika bangunan bersejarah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sempena Sambutan Hari Malaysia di Gua Musang semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk dan pekebun dinasihat bergerak secara berkumpulan sekiranya mahu melakukan aktiviti dalam hutan susulan banyak kes ancaman haiwan liar berlaku di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu keselamatan penduduk dengan kes serangan haiwan liar ketika memasuki hutan.

Katanya, pekebun perlu bergerak secara berkumpulan atau berada di rumah jika tidak mempunyai keperluan penting.

“Pihak polis menasihatkan penduduk kampung yang selalu keluar ke hutan untuk mencari burung, mencari bahan-bahan hutan perlu keluar secara berkelompok.

“Sekiranya berlaku sesuatu, rakan-rakan yang ada bersama boleh membantu selain haiwan liar juga takut untuk menghampiri kumpulan penduduk,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Malaysia peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini semalam.

Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bekerjasama untuk mengawal dan mengadakan operasi bersama bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak sebelum ini tidak dapat mengesan tempat kejadian sebenar atau menjumpai sebarang kesan melibatkan beruang matahari yang menyerang seorang lelaki di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini minggu lalu.

“Perhilitan masih menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan perkampungan berkenaan selepas aduan penduduk,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, selepas enam hari bertarung nyawa, seorang buruh yang sebelum ini cedera parah diserang beruang ketika memikat burung di kawasan kebun di Kampung Dalam Senduk, Jerek, di sini meninggal dunia Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, kepala Muhamad Zaki terkoyak selain kaki, betis dan matanya luka akibat dicakar haiwan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN