Mahkota perlukan wakil kerajaan, tak terpinggir - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Mahkota perlukan wakil kerajaan, tak terpinggir – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi bersama Onn Hafiz Ghazi dan para jemputan lain melakukan simbolik pecah tanah pada Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan para pengundi tentang potensi besar pembangunan di bandar ini, khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Justeru, bagi meneruskan pembangunan itu, DUN Mahkota harus mempunyai wakil rakyat daripada parti kerajaan untuk mewakili mereka.

Beliau yakin calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk rakyat di DUN Mahkota untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan oleh yang demikian rancanglah sebaiknya untuk pulang. Pengundi-pengundi yang tinggal di luar DUN Mahkota, sama ada di Mengkibol atau luar daerah dan negeri Johor rancanglah sebaik bagi membolehkan dapat pulang mengundi. 

“Baliklah untuk membantu memberikan kepercayaan kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan Kluang dipinggirkan berbanding daerah lain seperti dakwaan dibuat sesetengah pihak, sedangkan daerah ini sedang rancak membangun ketika ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada ada satu pun daerah di Johor yang tertinggal kerana ada tuduhan mengatakan Johor tengah, khususnya di Kluang terpinggir, kerana kononnya pembangunan tertumpu di Johor Bahru di selatan dan kawasan utara, Muar.

“Sedangkan kita lihat Kluang akan mempunyai akses apabila trek berkembar dan stesen baru Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) siap sepenuhnya akan boleh menghubungkan penduduk di Kluang dengan daerah berhampiran sama ke utara, selatan atau Kuala Lumpur,” katanya 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Rumah Transit Bangsa Johor yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Johor, khususnya untuk keluarga muda akan dijadikan model bagi melaksanakan kaedah serupa di peringkat Persekutuan. 

Usaha itu bagi memberikan peluang kepada keluarga muda menyewa dan 30 peratus daripada bayar sewa itu sebagai tabungan serta akan dipulangkan semula selepas lima tahun mereka menyewa.

“Ini adalah sesuatu yang unik kerana dapat membantu golongan muda membina keluarga masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN