SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 merekodkan lebih lima juta pengunjung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, data itu dicatatkan setakat pukul 12 tengah hari, semalam.
Katanya, jumlah itu melepasi sasaran kedua selepas pameran itu mencatat lebih tiga juta pengunjung pada hari kelapan selepas dibuka.
“Setakat pukul 12 tengah hari tadi (semalam), kita sudah catat lebih lima juta pengunjung.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, mereka adalah cerminan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara, memikat perhatian ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan MAHA 2024 di Dewan D, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) semalam.
Dalam pada itu, sebuah kereta Perodua Axia juga dihadiahkan kepada pengunjung MAHA yang ke lima juta. Hadiah tersebut tajaan Agrobank.
Sementara itu, tinjauan di kawasan pameran dipenuhi pengunjung yang mahu menikmati promosi jualan harga rendah sempena penutupan pameran.
Pengunjung, Muhammad Azreen, 31, dari Perak berkata, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa anak-anak sempena cuti persekolahan.
“Kita datang dari jauh sebab kebetulan cuti sekolah, jadi saya bawa anak-anak keluar berjalan dan melihat keunikan di MAHA.
“Saya datang hari terakhir sebab lagi meriah selain barangan yang boleh didapati pada harga lebih murah sebab penutupan,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pengunjung, Haslindah Rahman, 48, berkata, beliau sanggup menghadapi kesesakan luar biasa bagi menyertai pameran pada hari terakhir.
“Mahu masuk tempat letak kereta ambil masa 30 minit tapi saya sanggup tunggu sebab hari terakhir.
“Saya memang selalu datang MAHA pada waktu-waktu akhir sebab lagi seronok walaupun sesak,” katanya. – UTUSAN