Madrasah, sekolah tahfiz tidak dibenarkan beroperasi sebelum dapat lesen - Utusan Malaysia

Madrasah, sekolah tahfiz tidak dibenarkan beroperasi sebelum dapat lesen

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tegas tidak akan memberi kebenaran untuk mana-mana sekolah tahfiz atau madrasah beroperasi selagi belum berdaftar dan mendapatkan pengesahan lesen dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara berkenaan sememangnya peraturan yang telah ditetapkan namun ia tidak dipenuhi sehingga ada sebahagian sekolah tahfiz atau madrasah berkenaan telah beroperasi terlebih dahulu sebelum mendapatkan pengesahan lesen. 

“Saya harap tidak lagi berlaku, selepas ini ada lesen barulah boleh dibenarkan beroperasi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, JHEAINS selepas ini harus sentiasa menjalankan pemantauan dan tidak hanya melakukannya selepas timbul sesuatu isu.

“Pemantauan harus dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib bukan sekadar apabila timbul isu sahaja. Khususnya ke atas sekolah-sekolah yang bukan aliran perdana, tidak kira sama ada sekolah-sekolah tahfiz atau madrasah,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri masih lagi mendapatkan maklumat secara menyeluruh berkaitan pengoperasian syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang ada di negeri ini.

Pada masa yang sama, beliau meminta pemantauan berterusan dibuat oleh pegawai JHEAINS dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Sekarang ini kita nampak logo-logo sudah berubah, ini bukti awal. Maklumat berkenaan sedang dikumpul dan kita sedang meneliti apakah tindakan boleh diambil selepas ini.

“Kalau dulu logo GISBH ada di premis tapi kini telah bertukar. Ini antara modus operandi terbaharu yang kita dapat lihat tetapi kita masih menunggu siasatan akhir pihak polis,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN