MERSING: Sebuah madrasah di Felda Tenggaroh 5, dekat sini memerlukan dana sebanyak RM14,000 sebelum musim tengkujuh bermula bagi menyiapkan tembok penghalang hakisan tanah yang dibina.
Pengurus Madrasah Pondok Hasanniah Islamiah, Muhammad Ashraff Md. Khaire berkata, hakisan tanah di premis itu menjejaskan gelanggang futsal di bahagian belakang sekolah.
Katanya, keadaan menjadi serius sejak beberapa tahun lalu dan perlu pembinaan tembok penghalang hakisan itu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
“Kami sudah pun memulakan pembinaan tembok itu, namun dilakukan sedikit demi sedikit. Bila ada dana baru kami dapat bayar kontraktor dan bila tiada dana maka kerja-kerja membina terhenti sehingga ada dana lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Ashraff berkata, madrasah dengan 39 pelajar itu berdaftar secara sah dan struktur bangunan dibina mengikut spesifikasi pihak berkuasa.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Madrasah Pondok Hasanniah Islamiah bernombor 5510 7044 3397.