MADA catat kejayaan cemerlang

MADA catat kejayaan cemerlang

Kamarudin Dahuli bersama pegawai dan kakitangannya di hadapan reruai MADA yang berjaya mencapai sasarannya pada MAHA2024 di MAEPS, Serdang. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 menyaksikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencatatkan kejayaan cemerlang melalui penglibatan dalam pelbagai program dan segmen menarik sepanjang penganjuran pameran tersebut.

Pelbagai segmen termasuk demonstrasi masakan, pameran produk tempatan dan interaksi menarik yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami dunia pertanian serta pengalaman kulinari yang unik.

Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli berkata, MADA melaksanakan pelbagai aktiviti dan pameran seperti Segmen Agro Lifestyle dan Agro Culinary yang berjaya menarik hampir 80,000 pengunjung sekali gus mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai sektor pertanian, tetapi juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti agro dan memperkasakan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan meliputi 106 program termasuk aktiviti pentas dan jualan yang menyumbang kepada hasil jualan sebanyak hampir RM10,000 bagi sub-segmen Agro Cafe.

“Selain itu, lima usahawan di bawah seliaan MADA turut memanfaatkan Kluster Agro Business dengan mencatat keuntungan melebihi RM50,000 hasil pemasaran dan jualan produk makanan mereka.

“Bagi segmen Agro Pelancongan, empat usahawan Agro Pelancongan MADA terlibat dalam memasarkan destinasi pelancongan seperti Nipah Klasik, Dangau D’Kontena, Houseboat Pedu, Aji Heritage Farm, dan Ladang Mempelam MADA Tobiar yang berjaya mencatat hasil jualan hampir RM10,000 serta nilai tempahan penginapan mencecah RM10,000,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, MADA turut menarik perhatian pengunjung di Laman Mekanisasi melalui program MADA Agriculture Service Provider (MASPRO) yang mengetengahkan teknologi seperti Virtual Reality (VR) Drone Infotainment dan Game Experience.

“Di Laman Agro Food Padi, MADA turut bekerjasama dengan agensi seperti Kawasan Pembangunan Per­tanian Bersepadu (IADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), pengilang beras dan syarikat agrokimia dalam mempamerkan pelbagai teknologi pertanian moden.

“Aktiviti seperti Pameran Model Smart Farming, Simulator Jentanam, dan Virtual Reality telah menarik perhatian pengunjung untuk mendalami teknologi terkini dalam penanaman padi.

“Antara program berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh MADA termasuklah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MADA dan Agensi Angkasa Malaysia, serta pelancaran beberapa projek besar seperti Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) dan Projek SMART SBB,” jelasnya.

Selain itu, Kamarudin berkata, MADA berharap penganjuran MAHA 2024 akan memberi impak positif meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan keterjaminan makanan dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negara selaras dengan misi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Penglibatan MADA pada MAHA kali ini amat memberangsangkan dan kami komited memastikan ketahanan makanan tercapai dengan memastikan bekalan padi dan beras mencukupi pada masa depan.

“Kami bercadang meneruskan program termasuk memperkenalkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kepada pesawah.

“Kami mempamerkan teknologi yang boleh membantu membuat keputusan berdasarkan AI. Dengan sambutan memberangsangkan daripada lebih 200 pesawah dari Kedah dan MADA, kami yakin pengetahuan yang diperoleh akan membantu dalam memajukan industri padi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN