Lubnan tegang, warga Malaysia perlu segera keluar

Lubnan tegang, warga Malaysia perlu segera keluar

lubnan
Gambar yang diambil pada 24 September 2024, menunjukkan serpihan dan kemusnahan di tapak serangan Israel semalaman di kawasan kejiranan di bandar Lubnan Baalbeck di lembah Bekaa. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keadaan di Lubnan yang diserang Israel ketika ini sangat tegang dan rakyat Malaysia digesa segera meninggalkan negara itu.

Perkara tersebut disahkan Duta Besar Malaysia, Azri Mat Yacob yang dihubungi semalam bagi mendapatkan gambaran perkembangan terkini di Lubnan.

“Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan Kedutaan Besar di ibu kota Beirut, memang didapati keadaan negara ini masih tegang ekoran serangan berte­rusan Israel,” katanya.

Beliau merujuk konflik susulan operasi ketenteraan rejim Tel Aviv yang mengakibatkan ramai orang awam maut di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel minggu lepas.

Pihak Hezbollah yang pro-Iran melancarkan ratusan bedilan roket dan dron ke Haifa, bandar di utara Israel kelmarin namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan.

Mengulas lanjut, Azri berkata, meskipun situasi keselamatan masih tegang, Batalion Malaysia (Malbatt) yang bertugas dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) masih bertahan.

Kumpulan pengaman itu yang ditempatkan di kem sektor barat iaitu Marakah dan Tibnin juga terletak agak jauh dari kawasan ‘panas’ sempadan Israel yang sering kali bergolak.

“Saya difahamkan bahawa pihak Malbatt yang berkhidmat dengan Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) masih lagi berada dalam keadaan cukup selamat ketika ini,” katanya.

Justeru, kata Azmi, kedudukan penempatan Malbatt sama ada perlu berundur atau kekal jika tercetus perang itu tertakluk kepada penilaian semasa UNIFIL serta dikemas kini pihak kedutaan.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan tidak akan melakukan evakuasi untuk memindahkan rakyat pulang ke tanah air, sebaliknya menasihatkan mereka untuk meninggalkan negara tersebut atas kapasiti masing-masing.

Beliau berkata, tindakan berpindah itu perlu dilakukan segera kerana dikhuatiri tiada penerbangan di Beirut selepas ini jika keganasan semakin memuncak mengakibatkan rakyat lebih sukar untuk keluar.

“Kita tidak akan mengadakan proses evakuasi tetapi menasihatkan mereka untuk meninggalkan negara tersebut.

“Takut kalau lewat nanti tidak ada penerbangan di Beirut akan menyukarkan lagi rakyat untuk keluar dari negara itu,” katanya semalam.

Ketika ini sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan Hezbollah di selatan Lubnan dengan 35 membabitkan kanak-kanak dan 58 wanita manakala 1,645 yang lain cedera.

Ribuan keluarga di kawasan serangan itu turut me­larikan diri apabila tentera Israel mendakwa pasukannya menyerang 1,300 sasaran Hezbollah dalam operasi untuk memusnahkan infrastruktur yang dibina kumpulan itu sejak perang 2006.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN