KLUANG: Loji Rawatan Air (LRA) Kahang yang mula diaktifkan pada April lalu dan sedang dalam fasa ujian ketahanan bakal menangani gangguan bekalan air, khususnya di Kluang dan kawasan sekitarnya
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 21,000 pemegang akaun dan LRA itu dapat meningkatkan rizab air di kawasan Kluang sebanyak 20 peratus.
“Saya ucapkan syabas kepada kerajaan negeri Johor dan mereka yang terlibat dalam perancangan ke hadapan untuk memastikan isu bekalan air di kawasan ini tidak akan berlaku.
“Johor merupakan salah sebuah negeri tumpuan pelabur, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan keduanya ialah industri pusat data,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Kahang dan LRA Kahang dekat sini yang diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor untuk memastikan bekalan air dan tenaga diperbaharui yang diperlukan pelabur mencukupi.
“Kalau dapat bekerjasama erat dalam bidang ini sudah pasti saya kira kita akan dapat memastikan kesejahteraan, keterjaminan air dan tenaga dan pada masa yang sama melihat kelestarian alam sekitar dan yang mampu dibiayai oleh rakyat, itu yg kita nak fokuskan.
“Status empangan negara secara amnya baik, cuma ada beberapa empangan yang berada di bawah 40 peratus dan pada tahap berjaga-jaga namun kebanyakannya boleh diambil daripada empangan lain untuk menampung bekalan,” katanya. – UTUSAN