Lima pemancing diselamatkan, dua bot tenggelam - Utusan Malaysia

Lima pemancing diselamatkan, dua bot tenggelam

LIMA pemancing berjaya diselamatkan oleh Maritim Malaysia Zon Batu Pahat selepas kelong memancing di Seri Menanti, Muar musnah dan dihanyutkan ombak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR Lima pemancing mengalami detik cemas apabila jeti yang menghubungkan daratan dengan kelong tempat mereka memancing di Pantai Seri Menanti, dekat sini musnah dan dihanyutkan air laut akibat cuaca buruk dan laut bergelora. 

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang pemancing, Muhammad Razib Abu Bakar, 33, pada pukul 9.40 malam.

“Aset Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi yang dimaklumkan oleh mangsa dan berjaya menyelamatkan kelima-lima mereka yang berusia antara 15 hingga 43 tahun  kemudian dibawa ke Jeti Nelayan Seri Menanti sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam perkembangan berasingan beliau memberitahu, pihaknya turut menerima aduan awam berkaitan dua buat bot ‘barter trade’ tenggelam di perairan Batu Pahat pagi tadi.

Bot pertama, KLM Bahtera Jaya dilaporkan tenggelam di kedudukan  0.9 batu nautika Barat Daya Segenting ketika dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Indonesia. 

“Siasatan awal mendapati bot tersebut tenggelam disyaki berpunca daripada kebocoran pada bahagian enjin. Maritim Malaysia turut melaksanakan operasi pemindahan perubatan dengan salah seorang daripada lima kru bot tersebut telah diserang angin ahmar dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat,” jelasnya.

Sebuah lagi bot KLM Bersama Jaya yang membawa enam orang kru dari Indonesia menuju ke Batu Pahat turut tenggelam di kedudukan 11.2 batu nautika Barat Daya Benut. 

Kesemua mangsa kedua-dua bot terlibat berusia yang berusia 20 hingga 62 tahun diselamatkan oleh bot ‘barter trade’ yang berhampiran ketika kejadian.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat bernombor 07-4344020 atau talian bantuan kecemasan 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN