PETALING JAYA: Lima pemain yang muncul juara pada saingan final kebangsaan Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) 2024 bakal mewakili Malaysia pada Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) di Phuket, Thailand pada 25 Oktober hingga 2 November ini.
Dalam final kebangsaan PNAGS 2024 yang berlangsung di Forest City Golf Club, Johor awal minggu ini, seramai 70 pemain dari seluruh negara berentap untuk merebut gelaran juara lima kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Medal A, B, C, D dan E, sekali gus mewakili negara ke Phuket.
Johan Gwee muncul juara kategori Medal A (handikap 0-5) selepas dia gagal diberi saingan oleh Alya Afza Hazari dan Mohd. Shamsuri Ishak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.
Juara kategori Medal B (handikap 6-10) pula menjadi milik Choo Kueh Fong, manakala juara Medal C (handicap 11 hingga 15) milik Muhammad Feyyaz Ashaari. Sementara Sia Chee Kian dinobatkan sebagai juara Medal D ((handicap 16-20) dan Nazaruddin Moksin pula juara bagi Medal E (handicap 21-24).
Sementara itu, Terengganu yang diketuai Mohd. Firdaus Ahmad, Muhammad Nor Hisham Hussain, Ng Kim Yong, Sia Chee Kian dan Kamaruzzaman Mansor dinobatkan sebagai juara PNAGS tahun ini.
Dalam pertarungan sengit selama dua hari itu, Terengganu mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu gergasi golf Malaysia selepas berjaya menjulang Trofi PNAGS 2024.
Hadiah kepada pemenang utama disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim.
Dalam pada itu, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludi turut menekankan kepentingan kejohanan amatur seperti PNAGS dalam memupuk juara masa depan.
“Sebagai bekas pemain golf yang gemar sendiri, saya amat menghargai nilai-nilai yang diterapkan oleh golf iaitu kejujuran, disiplin, rasa hormat, ketabahan, dan peningkatan diri berterusan.
“Perodua kekal komited kepada prinsip ini dan kami berbesar hati untuk menyokong PNAGS sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami,” katanya.
Pada masa sama, Pengerusi penganjur, Lokman Ishak menyifatkan penganjuran kejohanan itu amat mencabar khususnya bagi melahirkan pemain golf berkualiti.
“Menghidupkan kejohanan ini di 14 negeri dari Mac hingga September 2024 merupakan satu usaha yang besar.
“Kejayaan kami terletak pada tiga tonggak – semangat, kerja berpasukan dan kepimpinan yang tegas,” katanya.
Pada Majlis Makan Malam Alu-aluan dan Menaikkan Bendera, Ketua Pegawai Eksekutif Delta World dan Presiden WAGC Malaysia, Isac Saminathan menekankan peranan penting penaja khususnya Perodua, yang amat penting dalam mengembangkan PNAGS ke dalam kejohanan golf amatur terulung di Malaysia.
“Kejayaan berterusan kejohanan ini mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi pihak penaja kami.
“Perkongsian Perodua khususnya telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan PNAGS ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Sejak penubuhannya, PNAGS telah menarik lebih 20,000 pemain golf amatur dari seluruh Malaysia. – UTUSAN