Lima kanak-kanak GISBH dirawat di Hoshas, ditemukan tanpa pengenalan diri

Lima kanak-kanak GISBH dirawat di Hoshas, ditemukan tanpa pengenalan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Lima kanak-kanak termasuk tiga beradik yang ditemukan dalam serbuan di dua premis rumah kebajikan dipercayai di bawah kelolan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu dirujuk sebagai kes penderaan dan pengabaian (SCAN).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan parut lecur lama dan lebam di badan kanak-kanak tersebut.

”Susulan itu siasatan lanjut dan temubual dilaksanakan bagi mencari punca sebenar kesan parut lecur dan lebam itu,” katanya di sini.

Tambah Razali lagi, selain siasatan terhadap kecederaan fizikal, semua kanak-kanak terbabit turut disiasat bagi mengenal pasti simptom dan tanda-tanda kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan.

Terdahulu pada 21 September lalu, pihak polis melakukan serbuan di dua premis rumah kebajikan yang didapati mempunyai kaitan kumpulan syarikat tersebut di Kampung Paya Pulai Tengah dan Taman Bukit Semantan dekat Temerloh.

Tiga kanak-kanak perempuan yang merupakan adik-beradik berusia antara sembilan hingga 12 tahun dibawa dari premis di Taman Bukit Semantan.

Dua lagi kanak-kanak lelaki pula dibawa dari premis di Kampung Paya Pulai Tengah dan merupakan adik-beradik kandung.

Razali turut mengesahkan tiada pengenalan diri ditemukan bersama kesemua kanak-kanak itu semasa serbuan dilaksanakan oleh polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN