TEMERLOH: Bukan sahaja tiada dokumen pengenalan diri, lima kanak-kanak yang ditemukan dalam serbuan di dua premis rumah kebajikan dipercayai di bawah kelolaan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di sini mempunyai kesan parut melecur dan lebam di badan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Ir. Razali Kassim berkata, kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun itu dirujuk sebagai kes penderaan dan pengabaian (SCAN).
Katanya, kanak-kanak terbabit termasuk tiga beradik kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.
“Siasatan lanjut dan temubual dilakukan bagi mencari punca sebenar kesan parut lecur dan lebam pada kanak-kanak tersebut.
“Selain siasatan terhadap kecederaan fizikal, semua kanak-kanak terbabit turut disiasat bagi mengenal pasti simptom dan tanda-tanda kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan,” katanya.
Pada 21 September lalu, polis melakukan serbuan di dua premis rumah kebajikan yang didapati mempunyai kaitan dengan GISBH di Kampung Paya Pulai Tengah dan Taman Bukit Semantan, Temerloh.
Tiga kanak-kanak perempuan yang merupakan adik-beradik berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditemukan di premis di Taman Bukit Semantan.
Dua lagi kanak-kanak lelaki pula dibawa dari premis di Kampung Paya Pulai Tengah.
Kesemua mereka ditemukan tiada dokumen pengenalan diri ketika serbuan dilaksanakan polis di dua premis tersebut.