KUALA PILAH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan bongkah kayu dalam kejadian di Bahau, Jempol, hujung minggu lalu.
Tertuduh, M. Vikneswaran, 36, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera kepada isterinya dengan memukulnya menggunakan sebuah bongkah kayu ukiran gajah.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 22 September lalu kira-kira pukul 9.30 pagi di sebuah rumah di Mahsan, Bahau.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A kanun yang sama yang mana jika sabit kesalahan dihukum penjara hingga 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Rosli Muhamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada pada 29 Oktober ini.-UTUSAN.