Lelaki ditemukan rentung di halaman rumah, dipercayai meninggal sejak tiga hari

Lelaki ditemukan rentung di halaman rumah, dipercayai meninggal sejak tiga hari

KEADAAN mayat yang ditemukan dalam keadaan rentung bersama mesin rumput di hadapan sebuah rumah berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Jejawi, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan rentung bersama alat pemotong rumput di halaman sebuah rumah dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu di Jejawi di sini, semalam.

Mayat dipercayai pemotong rumput tersebut ditemukan oleh orang ramai yang melalui kawasan berhampiran rumah itu pada pukul 6.33 petang.

Mangsa disyaki rentung akibat mesin rumput yang dipercayai terbakar dan menyambar badan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan badannya juga sudah mulai kembung.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan sekitar kawasan rumah itu termasuk tiada sebarang kesan pergelutan pada tubuh mangsa.

“Kita percaya mangsa adalah seorang pekerja pemotong rumput namun butiran dirinya masih dikenal pasti. Kita juga percaya bahawa mangsa sudah meninggal dunia sejak tiga hari,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Mohsin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian.

“Polis juga belum melakukan sebarang klasifikasi terhadap kes berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN