KLUANG: Sebanyak 77 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah seluruh negara di bawah kendalian Kementerian Kerja Raya bagi tahun 2023 dan 2024 menelan kos lebih RM1 bilion.
Daripada jumlah itu, 46 projek pembinaan semula dilakukan pada tahun lalu melibatkan kos RM541.8 juta, manakala 31 projek pada tahun ini menelan kos RM548.7 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek tahun lalu terbahagi beberapa fasa, iaitu lapan untuk fasa reka bentuk, fasa pembinaan 32, manakala masing-masing dua bagi fasa siap dan perolehan.
“Pembinaan kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu dan SK Tunku Mahmood 1 merupakan projek pembinaan semula bangunan daif di bawah Kementerian Kerja Raya.
“Kos yang digunakan untuk membangunkan sebuah kantin, bilik rehat guru dan laluan pejalan kaki di SK Kampung Melayu ini berjumlah RM2.28 juta,” katanya selepas meninjau kerja pembinaan semula bangunan daif di sekolah berkenaan, di sini hari ini.
Ahmad berkata, projek yang bermula 18 Julai lalu dijangka siap sepenuhnya pada November tahun depan dan kerja pembinaan mencapai tahap tiga peratus.
Katanya, apabila siap nanti kantin itu mampu menampung kira-kira 400 murid.
“Turut dilakukan ialah kerja-kerja elektrikal dan mekanikal seperti pemasangan paip, paip kumbahan, pengudaraan dan sistem pemadaman kebakaran,” katanya. – UTUSAN