Lebih 600 huffaz sambung pengajian di UniKL, bukti DPTN berjaya - Utusan Malaysia

Lebih 600 huffaz sambung pengajian di UniKL, bukti DPTN berjaya

AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) bersama-sama Onn Hafiz Ghazi dan Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama-sama orang ramai yang menghadiri program Gegar Jejak Kerjaya MYFutureJobs Orang Mahkota 2024 bersama HAWA Malaysia di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kejayaan seramai  622 huffaz menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membuktikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN)  membuahkan hasil dan berjaya. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha kerajaan menerusi DPTN yang memperkemas Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) telah membuahkan hasil apabila dapat melahirkan golongan hafazan al-Quran yang memiliki kelayakan profesional.

“Buktinya pada tahun ini sahaja seramai 622 huffaz yang menghafal 30 juzuk al-Quran telah mendapat tempat di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Mereka yang mengikuti pengajian di universiti swasta itu dalam bidang penerbangan awam, bukan hanya menjadi juruteknik, malah turut dilatih menjadi jurutera penerbangan kapal terbang.

“Pihak Airbus dan Boeing telah menghantar peralatan dan tenaga pengajar ke Institut Teknologi Penerbangan UniKL dan ketika ini seramai 17 orang daripada huffaz itu telah menjadi jurutera dalam bidang penerbangan.

“Mereka bekerja di Airbus dan Boeing, ini saya bercakap bukan peringkat merancang tetapi kita telah lakukan dalam masa yang singkat kita telah melihat kejayaan ekosistem pendidikan yang baharu ini,” katanya semasa merasmikan Gegar Jejak Kerjaya MYFutureJobs Orang Mahkota 2024 bersama HAWA Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan itu adalah hasil memperkasakan Program Eksplorasi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan tahfiz dalam sistem pendidikan negara.

Inisiatif itu bertujuan melahirkan golongan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dengan kemahiran duniawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya