Lebih 5,000 perwakilan dijangka hadir Muktamar Pas Ke-70 di Kerdau - Utusan Malaysia

Lebih 5,000 perwakilan dijangka hadir Muktamar Pas Ke-70 di Kerdau

TUAN IBRAHIM Tuan Man (dua dari kanan) merasmikan Konvensyen DHPP di Jerantut, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Lebih 5,000 perwakilan dijangka hadir pada muktamar tahunan Pas kali ke-70 yang akan diadakan di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh bermula 11 sehingga 15 September ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, muktamar pada kali ini akan turut dihadiri oleh para pemerhati daripada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Menurutnya, kehadiran sekali ganda perwakilan pada muktamar kali ini membuktikan parti Pas semakin diterima pelbagai lapisan masyarakat termasuk membabitkan penyokong bukan Islam yang menjadi ahli DHPP.

“Perwakilan pada muktamar Pas kali ini dijangka membahaskan pelbagai isu seperti ekonomi, politik, kos sara hidup, isu sensitif dibangkit DAP, isu Palestin dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DHPP di Hotel Darul Makmur di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Pahang sebagai tuan rumah muktamar kali ini sebagai isyarat keyakinan parti itu dapat menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

“Pas Pahang yakin dapat menawan Pahang berikutan momentum sokongan terhadap parti ini semakin meningkat hasil kerja kuat dan mesra rakyat yang dipamerkan seluruh peringkat kepimpinan.

“Kita sudah hampir menerajui Pahang pada PRU15 lalu dengan memenangi 17 kerusi bersama rakan PN dan hasrat itu semakin bertambah pada PRU-16 yang dijangka dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Konvensyen DHPP kali kesembilan ini diadakan bersempena penubuhan sayap bagi ahli bukan Islam Pas pada usianya yang sudah mencapai 20 tahun sejak ditubuhkan pada 2004 sebagai Kelab Penyokong Pas.

Menurutnya, lebih 70,000 ahli DHPP di seluruh negara sudah digerakkan bagi menyantuni masyarakat bukan Islam memberikan sokongan kepada misi dan visi Pas dan PN.

“Kita berbangga seluruh negara sudah wujud DHPP kecuali Perlis yang terbukti menjadi rakan strategik barisan harapan menyantuni pengundi bukan Islam dalam pilihan raya kecil seperti Pelangai, Sungai Bakap dan Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata, dengan sokongan padu ahli DHPP, misi Pas bukan sahaja mengekalkan empat negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tetapi juga menerajui Pahang serta menawan Putrajaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN