Lebih 40,000 pekebun kecil belum daftar Budi Agri-Komoditi - Utusan Malaysia

Lebih 40,000 pekebun kecil belum daftar Budi Agri-Komoditi

JOHARI Abdul Ghani (tengah) bersama-sama sebahagian daripada 600 pekebun kecil yang menghadiri program Turun Padang Budi Agri-Komoditi di Dewan Muafakat, Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Lebih 40,000 pekebun kecil di negeri ini masih belum mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan Budi Agri-Komoditi sehingga menyebabkan mereka tidak menerima bayaran sejak diperkenalkan awal tahun ini. 

Ini kerana hanya kira-kira 1,000 pekebun kecil yang terlibat dalam aktiviti komoditi seperti kelapa sawit, getah, koko, lada hitam dan kenaf mendaftar untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel. 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hingga kini hanya 60,000 daripada lebih 100,000 pekebun kecil di Semenanjung sudah mendaftar untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel yang disediakan kerajaan. 

Justeru, beliau meminta semua agensi di bawah kementeriannya serta pemimpin di daerah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya turun padang membantu semua pekebun kecil mendaftarkan diri bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan selayaknya. 

“Memang ada pekebun kecil yang tidak mahu mendapatkan bantuan subsidi diesel ini kerana merasakan mereka belum memerlukan untuk berbuat demikian. 

” Namun, kita tekankan adalah mereka yang memerlukan bantuan kerana terjejas apabila mempunyai saiz kebun dan keluasan tanah kecil di mana mereka menghantar hasil dengan kos pengangkutan tinggi akibat kenaikan harga diesel,” katanya ditemui selepas merasmikan program Turun Padang Budi Agri-Komoditi di Dewan Muafakat, Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin, di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 600 pekebun kecil Zon Selatan.

Menurut Johari, Program Budi Agri-Komoditi merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) yang bertujuan untuk menyasarkan subsidi diesel kepada pekebun kecil dalam sektor agrikomoditi serta petani dan penternak di sektor pertanian. 

“Kementerian Perladangan dan Komoditi bertanggungjawab memastikan pekebun kecil sawit, getah, koko, lada, dan kenaf yang berdaftar dengan agensi-agensi di bawah kementerian di Semenanjung  menikmati faedah daripada program ini,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN