KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan pada 16 September di Padang Merdeka di sini, dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, beliau mahu mengajak semua rakyat Malaysia yang berada di negeri ini sama-sama meraikan sambutan berkenaan atas semangat kesatuan dan kebangggaan.
Beliau berkata, sambutan ini diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung Malaysia. Tahun ini adalah giliran Sabah menjadi tuan rumah.
Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ itu akan menyaksikan upacara Menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Majlis menandatangani Buku Khas itu akan disaksikan olehnya selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Hari Malaysia dan juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang juga Pengerusi Bersama.
“Antara acara kemuncak pada sambutan kali ini adalah persembahan istimewa bertajuk “Rumah MADANI Jiwa Merdeka” yang akan menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia yang mencerminkan keteguhan perpaduan, dinamik kemajuan dan transformasi negara,” katanya dalam sidang akhbar sempena Hari Malaysia, hari ini.
Persembahan istimewa itu akan disertai oleh kumpulan kesenian daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Borneo Art, Satelit, Art UMS, Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan dan Ngalay. Ia turut menampilkan artis tempatan Sabah seperti Elica Paujin, Nick Arddley, Den Bisa, Yico Wong, Dhania dan Rosario Bianis.
“Sementara menanti acara utama dilaksanakan, penganjur turut menyediakan acara pra-persembahan yang bermula seawal 5 petang hingga 7.30 malam.
“Acara tersebut akan diselang-selikan dengan ketibaan jemputan serta menampilkan persembahan artis dan penampilan khas maskot superhero di kawasan tapak acara pasca-persembahan akan diteruskan selepas persembahan bunga api dan keberangkatan pulang tetamu kehormat.
“Di samping itu, ada juga persembahan artis jemputan khas seperti Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir,” katanya.