KOTA BHARU: Lebih 2,000 rakyat negeri ini berhimpun di Padang Merdeka di sini bagi menyaksikan Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-55 Sultan Muhammad V hari ini.
Istiadat pemeriksaan perbarisan dimulai dengan tujuh das tembakan meriam tepat pada pukul 8 pagi, diikuti perbarisan masuk melibatkan tujuh kontinjen badan beruniform dan 10 sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Acara kemudiannya diteruskan dengan perbarisan masuk barisan pembawa panji-panji serta pengawal istana diikuti perbarisan masuk pasukan kawalan kehormatan utama dari Rejimen Pertama Artileri Diraja Para dari Kem Terendak, Melaka.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud tiba pada pukul 8.30 pagi bagi menyambut keberangkatan tiba Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berserta keluarga diraja ke Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan.
Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V ke Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan pada pukul 9.30 pagi disambut dengan 25 das tembakan meriam disusuli alunan lagu negeri Selamat Sultan.
Baginda kemudiannya berkenan untuk mencemar duli memeriksa perbarisan pasukan kawalan kehormatan utama sebelum berangkat ke Istana Balai Besar bagi Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia.-UTUSAN