Lari lintang-pukang tinggalkan kerbau, lembu

Lari lintang-pukang tinggalkan kerbau, lembu

ANGGOTA ATM menunjukkan kerbau yang dirampas semasa serbuan di Tanah Merah, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Dua lelaki lari lintang-pukang meninggalkan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu di kawasan Sungai Golok di sini selepas diserbu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.

Dalam serbuan pukul 6.15 petang itu, seorang daripada suspek yang terlibat telah tertinggal MyKad dan motosikal selepas terkejut dengan kehadiran anggota ATM.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, semasa melakukan rondaan rutin anggota bertugas telah melihat kelibat kedua-dua suspek berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, terkejut dengan kehadiran anggota ATM kedua-dua lelaki itu sempat melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke kawasan Thailand sewaktu serbuan dijalankan.

“Mereka meninggalkan sembilan ekor kerbau dan seekor lembu yang dianggarkan bernilai RM 78,705 di sempadan negara ini.

“Penyeludup juga tertinggal sebuah motosikal dan beberapa barangan peribadi termasuk MyKad,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berdasarkan rekod, terdapat sebanyak tiga kes rampasan haiwan ternakan oleh pasukan operasi tentera darat sepanjang tahun ini iaitu sebanyak 69 ekor lembu pada 16 Jun, 17 ekor lembu pada 19 Ogos lalu dan kes terbaru semalam.

“Kesemua lokasi rampasan haiwan ternakan itu berlaku di kawasan yang berhampiran antara satu sama lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN