Lapan sekolah milik GISBH diarah tutup, batal pendaftaran di Selangor - Utusan Malaysia

Lapan sekolah milik GISBH diarah tutup, batal pendaftaran di Selangor

Reman GISBH
SERAMAI 22 wanita tiba di Sayap Kanan, Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi permohonan sambung reman dekat Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lapan buah sekolah milik Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) dan rangkaiannya di Selangor diarah tutup serta-merta dan dibatalkan pendaftarannya.

Kesemua sekolah itu didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Ia melibatkan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong.

Turut terlibat, Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, mesyuarat khas dijalankan semalam bagi membincangkan tindakan diambil pihkanya dan agensi hal ehwal Islam di negeri ini berhubung isu GISBH.

Jelas beliau, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua Sekolah Islam Persendirian yang didapati menyalahi peruntukan EPSAI 1988.

“Justeru, arahan penutupan semua sekolah Islam itu telah dikeluarkan mengikut Seksyen 25 enakmen itu pada 23 September lalu (kelmarin).

“Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada EPSAI,” katanya hari ini.

Menurut Abdul Aziz, pegawai penguat kuasa agama turut giat melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya.

Kata beliau, MAIS akan turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di dalam proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya juga menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN