BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengumumkan Ketua Unit Perisikan Elitnya meletakkan jawatan susulan kegagalan mencegah serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Menurut kenyataan tentera, Komander Unit 8200, Brigedier Jeneral Yossi Sariel, sudah memaklumkan kepada pegawai atasannya dan anggota bawahannya mengenai hasrat untuk meletak jawatan.
“Pegawai tersebut akan menamatkan tugasnya dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
Unit 8200 yang terkenal dan bersifat rahsia ini bertanggungjawab untuk mentafsir serta menganalisis data hasil pintasan dan perisikan isyarat lain.
Selepas kejadian 7 Oktober, Direktorat Perisikan Tentera Israel mengalami krisis sehingga menyebabkan ketuanya, Mejar Jeneral Aharon Haliva, mengumumkan peletakan jawatan pada April lalu.
Media Israel pada Khamis menyiarkan salinan surat peletakan jawatan Sariel, dengan beliau memohon maaf kerana tidak dapat melaksanakan misi yang diamanahkan pada 7 Oktober.
Pada Jun, penyiar awam Kan mendedahkan kewujudan laporan perisikan yang disediakan oleh Unit 8200 pada September 2023 memberi amaran kepada pegawai tentera mengenai persiapan Hamas untuk melancarkan serangan.
Kan melaporkan dokumen Unit 8200 tersebut termasuk butiran mengenai latihan pejuang elit Hamas untuk mengambil tebusan serta rancangan untuk menyerang kedudukan tentera dan komuniti Israel di selatan Israel.
Serangan Israel terhadap Hamas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 41,118 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah tersebut manakala Pejabat hak asasi manusia PBB menyatakan kebanyakan yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berulang kali menolak untuk membuka siasatan rasmi terhadap insiden 7 Oktober sehingga perang di Gaza berakhir. -AGENSI