Guan Eng buat laporan polis terhadap saksi utama pendakwaan

Keterangan bercanggah, Guan Eng buat laporan polis terhadap saksi utama pendakwaan

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Lim Guan Eng membuat laporan polis terhadap saksi utama kes terowong dasar laut Pulau Pinang, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli kerana didakwa memberi keterangan bercanggah pada perbicaraan kes tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zarul Ahmad memaklumkan beliau juga dinasihatkan oleh peguamnya agar membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung dakwaan berkonspirasi untuk memberi keterangan palsu bagi menjatuhkan Pengerusi DAP itu.

Terdahulu, peguam Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, anak guamnya membuat laporan polis pada 23 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

Menurut beliau, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membuat laporan itu lanjutan daripada satu laporan polis seorang individu yang mendakwa diugut oleh pihak-pihak tertentu supaya memberi keterangan palsu terhadap anak guamnya.

Haijan memberitahu, individu berkenaan membuat laporan polis pada 19 Jun lalu kerana khuatir diapa-apakan jika enggan memberi keterangan palsu terhadap Guan Eng.

“Anak guam saya membuat laporan kerana percaya bahawa kedua-dua keadaan itu (percanggahan saksi dan laporan polis individu tersebut) menunjukkan wujud pihak tertentu yang mahu menganiaya beliau dengan tuduhan tidak berasas,” ujar peguam itu.

Haijan membangkitkan isu berkaitan laporan polis tersebut pada prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mempertikai laporan polis dikemukakan atas alasan ia tiada kaitan dengan prosiding mencabar kredibiliti saksi yang sedang didengar di mahkamah.

Beliau menyifatkan ia satu tindakan untuk mengganggu prosiding mahkamah dan boleh menimbulkan subjudis.

“Kenapa perlu masukkan laporan ini sekarang ketika saksi pendakwaan sedang memberi keterangan pada prosiding mencabar kredibilitinya? Mengapa perlu libatkan pihak polis dalam prosiding ini?

“Guan Eng telah membuat rumusan sendiri walhal mahkamah yang sepatutnya berbuat demikian. Kes ini masih didengar, lainlah jika Zarul Ahmad mengeluarkan kenyataan di luar mahkamah, barulah laporan boleh dibuat,” ujar beliau.

Hakim Azura Alwi kemudian memaklumkan kepada kedua-dua pihak bahawa beliau tidak perlu melihat laporan itu kerana percaya mahkamah tidak tertakluk kepada siasatan polis dan selanjutnya memerintahkan prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan dengan mendengar keterangan Zarul Ahmad.

Kredibiliti Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang juga saksi utama pendakwaan, dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja RM6.3 bilion.

Pada perbicaraan lalu, Zarul Ahmad diminta menjelaskan mengapa kenyataannya yang diberikan ketika siasatan kes Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai berbillion ringgit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya