KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan kes penyeludupan diesel di negeri ini menurun sehingga 95 peratus selepas kerajaan melaksanakan penyasaran bahan bakar itu bermula 10 Jun lalu.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, ia dapat dilihat apabila tiga kes penyeludupan diesel sahaja yang dilaporkan berlaku sepanjang tempoh Jun sehingga Ogos lalu.
Menurutnya, KPDN Kelantan percaya kes tersebut melibatkan bekalan stok bahan api yang lama.
“Jumlah ini sangat rendah berbanding 47 kes rampasan diesel yang dilaporkan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi. Selepas penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, kes penyeludupan di Kelantan berkurang berbanding sebelum ini.
“Kes penyeludupan di negeri ini berbeza dengan penyelewengan di negeri lain. Jadi pengurangan kes penyeludupan ini menunjukkan pelaksanaan penyasaran subsidi berjaya di Kelantan,”katanya pada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah Madani di KB Mall, di sini hari ini.
Azman memberitahu, bagaimanapun jumlah kes yang melibatkan penyeludupan petrol telah menunjukkan peningkatan.
Katanya, dalam tempoh Januari sehingga Ogos lalu, sebanyak 78 kes penyeludupan petrol direkodkan selepas penyasaran susbsidi diesel dilaksanakan berbanding 17 kes sebelum penyasaran.
“KPDN Kelantan akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras penyeludupan bahan api termasuk barangan subsidi ke negara jiran,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azman berkata, terdapat minyak masak peket bersubsidi yang dijual di Thailand dengan harga RM8 sekilogram berbanding di Malaysia yang masih dijual pada harga kawalan iaitu RM2.50 sekilogram.
“Minyak masak Thailand menggunakan minyak jagung yang menyebabkan harganya agak mahal berbanding di negara kita yang menggunakan kelapa sawit.
“Malah status halal minyak peket yang dijual di Thailand juga diragui berbanding yang dijual di negara kita dan disebabkan itulah majoriti rakyat Thailand terutamanya yang tinggal di kawasan Narathiwat beragama Islam lebih memilih menggunakan minyak masak dari Malaysia,”katanya.-UTUSAN