TENOM: Pengadu yang juga saksi kesembilan kes dakwaan seksual pendakwah terkenal Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini, mesej ‘gemuk’, ‘nanti nampak jerawat’ yang dihantar kepada pendakwah itu bukan untuk berbincang mengenai imej badannya.
Sebaliknya kata saksi itu, mesej tersebut dihantar kepada Ebit kerana dia mahu mengelak daripada tertuduh terus meminta gambarnya.
Itu antara kandungan mesej yang dihantar oleh pengadu pada 29 Mac 2021 kepada Ebit seperti yang direkodkan dalam laporan forensik digital (ID-55).
Malah, pengadu juga tidak setuju dengan pertanyaan peguam bela, Datuk Ram Singh bahawa dia seorang yang mudah didekati kerana mudah berbincang tentang imej diri dengan orang lain.
Biarpun pada akhirnya, pengadu mengakui ada menghantar gambar wajah dan badan kepada Ebit, namun dakwanya, dia buat begitu kerana terpengaruh dan terikut-ikut dengan permintaan Ebit.
Melalui mesej pada 5 April 2021 dalam ID-55, pengadu turut menyatakan dia bersetuju mesej ‘Buat taubat nasuha awak, sama sama kita. Insya Allah saya akan jaga aib ini’ menunjukkan ada penyesalan dan konflik moral dalam dirinya.
Katanya, dalam mesej ‘Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tidak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak. Nama awak terkenal’, dia tidak setuju mesej berkenaan menunjukkan kerelaannya terhadap Ebit.
Pengadu juga tidak setuju baperbuatannya menghantar gambar tidak senonoh menyimpang daripada tujuan asal untuk menyertai Program Keluarga Sunnah.
Katanya, tidak ada pujukan daripada pihak luar sama ada suaminya, Akhi Fairuz atau Firdaus Wong yang mendorongnya buat laporan polis terhadap Ebit.
Pengadu memberitahu dia tidak bersetuju dengan pertanyaan peguam bahawa ada pihak luar yang memujuknya untuk buat laporan polis mengenai gangguan seksual berkenaan.