KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghantar komunikasi lucah dan mengaibkan serta mengganggu ibu seorang pempengaruh Tiktok yang ditemukan mati, tiga bulan lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali selepas menjatuhkan hukuman itu ke atas B. Satishkumar, 44, turut mengarahkan pemenjaraan bermula dari tarikh tangkapan 10 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memulakan penghantaran komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain yang dilakukan melalui aplikasi TikTok dengan menggunakan profil “dulal_brothers_360” di sebuah premis di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada pukul 10.12 malam, 30 Jun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan tempat serupa, Sathiskumar didakwa telah mengaibkan dan mengganggu kesantunan P. R. Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha atau A. Rajeswary melalui Tiktok dengan menggunakan profil sama.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan hukuman penjara dikenakan kepada tertuduh kerana penggunaan perkataan lucah yang digunakan semasa siaran Tiktok berlangsung menggambarkan niat jahat tertuduh dalam menyakitkan hati mangsa.
“Kes ini akan menjadi panduan kepada masyarakat umum berkenaan perkataan lucah yang digunakan dalam media sosial. Oleh itu, hukuman pemenjaraan wajar dikenakan kepada tertuduh,” kata Mohd. Sabri.
Bagaimanapun, Sathiskumar memohon dikenakan satu hukuman yang minima atas alasan dia perlu menanggung isterinya yang kurang upaya dan hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
Mengikut fakta kes, pada 30 Jun lalu, orang awam yang telah melayari akaun Tiktok dan terlihat satu akaun Tiktok bernama “@dulal brothers_360” menggunakan gambar Rajeswary (mangsa) sebagai latar belakang dan mengeluarkan fitnah dan kata-kata kesat.
Tertuduh juga ada membuat ancaman rogol dan bunuh kepada mangsa.
Media sebelum ini melaporkan Esha, 30, yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.