Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) meletakkan tapak tangan pada bebola kaca sebagai gimik perasmian Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin Kerajaan Perpaduan tidak akan tergugat walaupun pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, tegas Timbalan Perdana Menteri, solidariti dalam Kerajaan Perpaduan tetap kukuh dan tidak goyah meskipun cuba digugat oleh pihak pembangkang.

“Saya yakin jika ada usul undi percaya atau undi tidak percaya sekalipun, Perikatan Nasional (PN) mempunyai jalan untuk mencari beberapa pendekatan bagi menggoyahkan kerajaan yang ada, tetapi Kerajaan Perpaduan dengan adanya 153 dokongan Ahli-Ahli Parlimen,  melebihi dua pertiga kerana dua pertiga, 148 kerusi.

“Dan kita yakin solidariti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini akan terus kukuh dan tidak goyah walaupun apa yang cuba dilakukan oleh pihak pembangkang dalam Perikatan Nasional,” katanya ditanya tentang kenyataan Perdana Menteri yang mencabar pihak pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang Dewan Rakyat, bulan depan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas merasmikan Majlis Realisasikan Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor. 

Baru-baru ini Anwar berkata, pihak pembangkang perlu berdasarkan undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesa beliau berundur daripada jawatannya.

Katanya, tindakan itu adalah kaedah terbaik bagi wakil rakyat Pas yang berhasrat menjatuhkannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya membuat tuntutan itu dalam Muktamar Pas Ke-70, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN