LIPIS: Kerajaan negeri mengambil kira cadangan untuk melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang berkonsepkan strata dan bertingkat jika terdapat keperluan bergantung kepada kesesuaian dan lokasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, konsep berkenaan dipilih disebabkan oleh sumber tanah yang begitu terhad.
“Jika bersesuaian kita akan pergi ke arah itu (konsep strata) sebab tanah ini semua orang tahu, sumber yang sangat terhad.
“Tetapi kalau kita merasakan masih perlu secara landed (pembinaan rumah) kita akan teruskan, bila sampai masa nanti kita akan fikirkan, di mana tempat-tempat yang bersesuaian kita akan buat.
“Ia mengikut kesesuaian lokasi, kalau situ selalu banjir dan sebagainya kita akan buat bertingkatlah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Lipis di Perumahan Makmur Kuala Lanar Indah Jaya di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri berusaha membina rumah mengikut keperluan dengan mengambil kira kemampuan rakyat dan taraf ekonomi.
“Di Pahang ini, kita buat mengikut keperluan rakyat, kita ada buat rumah RM150,000, kita ada buat rumah RM80,000 sehingga rumah percuma pun kita bagi mengikut keadaan dan kesesuaian.
“Tak mampu RM150,000 pergi yang RM80,000, kalau betul-betul tak mampu kita sediakan Rumah Rakyat Pahang, tapi yang itu kita kena telitilah, kita tidak mahu yang patutnya layak tidak dapat, yang tidak layak dapat.
“Itu yang kita minta Pegawai Daerah yang menjadi pengerusi untuk Rumah Rakyat Pahang dan ahli jawatankuasa terdiri daripada wakil rakyat kerajaan,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar pembeli rumah dapat mematuhi moratorium yang ditetapkan dan tidak menjual kediaman dalam tempoh yang ditetapkan.
“Mereka tidak boleh jual rumah ini sebelum 10 tahun kerana harga rumah ini hanya RM150,000 sedangkan harga pasaran RM300,000, jadi kita kenakan moratorium,” katanya. – UTUSAN