Kerajaan mengalu-alukan pelbagai pihak tampil bantu mangsa GISBH - Utusan Malaysia

Kerajaan mengalu-alukan pelbagai pihak tampil bantu mangsa GISBH

DR. ZULKIFLI Hasan (tengah) hadir pada Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke-8 - INSAN 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu tampil membantu mangsa berkaitan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah tersebut demi memastikan hal kebajikan dan masa depan mangsa lebih terjamin serta terbela.

“Alhamdulillah, kami menyatakan terima kasih kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam isu-isu berkaitan hal ehwal agama. Dalam konteks hari ini kita memikirkan apa yang boleh kita lakukan adalah untuk menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak serta mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Kelestarian Insan Kali Ke 8 -INSAN 2024 anjuran bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Institut Sosial Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan bantuan pemulihan kepada mangsa GISBH terutama isteri dan anak-anak daripada ahli kumpulan itu.

Presidennya, Musa Awang berkata, antara bentuk bantuan dan kerjasama yang akan dilakukan adalah memberi nasihat guaman syariah serta membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah dan pengesahan status nasab anak-anak serta hak penjagaan anak-anak oleh waris seperti datuk, nenek atau saudara mara kepada kanak-kanak terbabit.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, untuk tujuan itu, setiap gerak kerja yang dilaksanakan harus seiring dengan semua agensi serta pihak lain untuk wujudkan keharmonian dan menangani isu berkenaan.

Jelas beliau lagi, bantuan pemulihan kepada mangsa akan dilakukan secara menyeluruh agar kesemuanya dapat diselesaikan.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata, beberapa perkara bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang timbul kebelakangan ini termasuk percubaan untuk menghidupkan kembali ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sesuatu yang mengejut.

Tambah beliau malahan ramai dalam kalangan masyarakat mudah terpengaruh dengan bentuk ajaran yang kononnya boleh menyelamatkan mereka daripada seksaan api neraka tersebut.

“Saya justeru menyeru kepada semua supaya tidak jemu mendalami ilmu agama yang sebenar dan sering berwacana bagi memperkukuhkan lagi pegangan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah selai semua pihak agar bersatu dalam menghadapi ancaman terhadap kesucian agama dan kemaslahatan umat ini serta berhenti daripada sikap menuding jari antara satu sama lain. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN