Kerajaan Kelantan pantau sekolah, dua rumah asal kendalian GISBH

Kerajaan Kelantan pantau sekolah, dua rumah asal kendalian GISBH

MOHD. ASRI MAT DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melakukan pemantauan ke atas sebuah sekolah dan dua rumah amal yang dikendalikan oleh Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, ketiga premis itu masing-masing berada di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Menurutnya, hasil semakan mendapati sekolah dibawah selian GISBH itu beroperasi di Gong Kulim, Pasir Puteh yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Rumah amal itu masing-masing di Kota Bharu dan Pasir Puteh. Setakat ini kerajaan negeri belum menerima apa-apa aduan jenayah atau salah laku berkaitan GISBH namun penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan berterusan.

“Langkah berkenaan diambil berikutan isu pemerdagangan dan eksploitasi kanak-kanak yang terkait dengan syarikat itu sudah menjadi isu nasional,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd. Asri memberitahu, selain sekolah dan rumah amal, GSBH turut memiliki premis-premis perniagaan di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, GISBH dikesan memiliki empat restoran, iaitu dua di Kota Bharu dan sebuah di Gua Musang dan Tumpat.

“Selain itu GISBH turut memiliki empat premis perniagaan di Kota Bharu dan Gua Musang yang menawarkan perkhidmatan seperti bakeri dan dobi.

“Kerajaan negeri tidak boleh melakukan sebarang serbuan atau pemeriksaan ke atas premis-premis berkaitan GISBH di negeri ini tanpa ada apa-apa aduan,” ujarnya.

Mohd. Asri berkata, kerajaan negeri susah arah penguatkuasa Jaheaik dan majlis daerah berkaitan memantau premis-premis berkaitan GISBH sehingga mendapat arahan lanjut dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pemantauan telah dilaksanakan sejak isu-isu berkaitan GISBH mula tersebar, khususnya pada dua hari lalu. 

“Kita sentiasa ambil pandangan PDRM dan berada dalam keadaan bersedia tetapi kena faham, kalau tiada apa-apa aduan, kita tidak boleh redah sesuka hati,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN