KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi jaminan akan membantu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengatasi masalah bekalan yang dihadapi oleh pesawah ketika ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, masalah itu akan diatasi dengan menyiapkan Sistem Pam Kemubu dan Lemal menggunakan peruntukan RM20 juta sebagaimana yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan kepada agensi pertanian itu.
Menurutnya, penyelesaian jangka sederhana itu juga turut membabitkan pembaikan benteng sementara ‘sheetpile’ dan kerja-kerja berkaitan di Skim Pengairan Kemubu dengan anggaran kos RM15 juta.
Ujarnya, beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara kerajaan Negeri dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kebajikan serta masalah pengairan itu diselesaikan.
“Kita (Kerajaan Kelantan) menucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudah mengumumkan peruntukan membabitkan RM20 juta dan perkara ini akan berjalan.
“Insya-Allah masalah petani-petani di negeri ini akan dapat diselesaikan dan kita akan adakan perbentangan pada Mesyuarat Exco Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Pam Kemubu, Ketereh di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin memberitahu,
pihaknya telah memohon peruntukan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina
telaga tiub dengan anggaran kos RM1.2 juta sebagai salah satu usaha menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, pada masa sama kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk tujuan sama termasuk pemecahan batu hampar.
“Kerja penyelesaian jangka panjang turut membabitkan pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) atau ampang jajar dengan anggaran kos RM700 juta.
“Ia mematuhi garis panduan di pihak negeri dan mematuhi keperluan teknikal, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin- Semerak dan luar Jelapang untuk mendapatkan bekalan air bagi tanaman pada dua musim setahun selain jaminan sumber air yang mencukupi pada musim kemarau,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, kesemua inisiatif itu diluluskan pada persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) ke-13 pada 26 Jun lalu demi memastikan kelangsungan dan kejayaan skim pengairan di kawasan Kada dan seluruh kawasan tanaman padi sama ada di bawah IADA atau luar jelapang.
Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan.
Perdana Menteri berkata, ia berikutan Kelantan kini berdepan masalah musim kemarau berpanjangan sehingga memerlukan tindakan segera.
Katanya, paip di sungai Kelantan yang disediakan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tidak mencukupi memandangkan paras air yang semakin menurun akibat kemarau berpanjangan.-UTUSAN