Kerajaan kaji kaedah baharu atasi kesesakan lebuhraya - Ahmad - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji kaedah baharu atasi kesesakan lebuhraya – Ahmad

AHMAD Maslan merasmikan 'Highway Concession Conference' (HCC) 2024 di Hotel Renaissance, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji langkah baharu untuk menyelesaikan masalah kesesakan di lebuhraya, khususnya semasa waktu cuti persekolahan atau perayaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuhraya tidak boleh dijadikan alasan bagi membiarkan situasi berkenaan berpanjangan.

Sebaliknya, Plus Malaysia Berhad (Plus) dan syarikat konsesi lebuhraya lain perlu terus mencari penyelesaian jangka masa panjang bagi mengatasi kesesakan di lebuhraya.

“Pengguna merungut kerana kesesakan yang berlaku adalah di lebuhraya, sudahlah perlu bayar tol tetapi jalan tetap sesak lebih lagi pada waktu hujung minggu ketika cuti berganda dan pada waktu cuti persekolahan.

“Jadi, kita mesti cari formula dan penyelesaian, tidak boleh beri alasan kenderaan bertambah punca kesesakan. Sebaliknya, kita perlu gunakan teknologi yang boleh membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan ‘Highway Concession Conference’ (HCC) 2024 di Hotel Renaissance, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir.  Hasni Mohammad.

Ahmad memberitahu, antara langkah mengatasi kesesakan lebuhraya yang telah dilaksanakan ketika ini termasuk ‘smart lane’, ‘compulsory exit’ dan penyusunan jadual perjalanan pengembara.

“Setakat ini, sebanyak 18 lokasi ‘smart lane’ telah dibuat, namun ia dilihat kurang menyelesaikan kesesakan, mungkin perlu ditambah jarak dan masa pengaktifan laluan itu.

“Selain itu, susunan jadual perjalanan pengembara bagi membolehkan pengguna lebuhraya mengetahui waktu sesuai untuk mengelak kesesakan dan ‘compulsory exit’ apabila kesesakan itu terlalu teruk,” katanya.

Terdahulu, Ahmad memberikan contoh kesesakan yang dilaporkan berlaku sehingga 12 jam melibatkan perjalanan dari Utara Semenanjung ke Kuala Lumpur yang biasanya hanya mengambil masa enam jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN