Keputusan batal RCI Batu Puteh 28 Oktober ini

Keputusan batal RCI Batu Puteh 28 Oktober ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Oktober ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad antara lainnya membatalkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat di sini semalam.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan menghujahkan permohonan semakan kehakiman itu menjadi akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu.

Dapatan RCI itu juga dijadualkan untuk pembentangan dan perbahasan di parlimen pada Oktober ini.

Selain itu, Shamsul menyatakan prosiding RCI itu dilakukan bukan untuk menuding jari kepada Dr. Mahathir dan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bukan subjek siasatan.

“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menuding jari kepada Tun Dr. Mahathir,” katanya.

Shamsul berkata demikian pada prosiding pendengaran semakan kehakiman dikemukakan Dr. Mahathir untuk perintah antara lain, membatalkan keseluruhan prosiding RCI berkenaan.

Dr. Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lalu, dengan menamakan Pengerusi RCI, Tun Md. Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Manakala, ahli RCI iaitu Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu, Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin, Profesor Datin Dr. Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI, Zamri Misman dinamakan sebagai responden ketiga hingga kelapan.

Sementara itu, peguam Zainur Zakaria yang mewakili Dr. Mahathir menyatakan semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal.

Seksyen itu turut memperuntukkan individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.

Tambah peguam itu, Dr. Mahathir adalah subjek dalam RCI namun beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Dr. Mahathir berkata beliau dinasihati oleh peguam, bahawa pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan kecenderungan berlakunya ketidakadilan dan berat sebelah.

Beliau berkata, sesungguhnya wujud perselisihan faham di antara Raus dengannya dan tidak diragukan lagi bahawa perkara itu akan memberi kesan terhadap ketelusan responden pertama (Raus) dalam memberikan keputusan dalam prosiding RCI.

Dr. Mahathir berkata, beliau juga dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, dia berhak diwakili peguam pilihan.

Katanya, beliau percaya hak untuk hadir dan diwakili oleh peguam hanya akan sempurna dan berkesan sekiranya beliau atau peguam diserahkan dengan dokumen, senarai saksi dan lain-lain keterangan yang akan dikemukakan pada siasatan RCI.

Selain itu, Dr. Mahathir dalam afidavitnya keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam, adalah tidak munasabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya