Keluarga tunai hajat bekas Gabenor Bank Negara kebumi di Johor Bahru - Utusan Malaysia

Keluarga tunai hajat bekas Gabenor Bank Negara kebumi di Johor Bahru

SEORANG ahli keluarga menyiram pusara Allahyarham Ahmad Mohd. Don di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keluarga bekas Gabenor Bank Negara,  Allahyarham Tan Sri Ahmad Mohd. Don lega dapat menunaikan hajat yang mahu jenazahnya dikebumikan di Johor Bahru.

Anak sulungnya, Shahril Hafiz, 48, berkata, ayahnya dibawa pulang ke rumah di Jalan Tengah, Kampung Stulang Baru, Majidee dari Kuala Lumpur pukul 8 malam tadi sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.55 pagi.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu lalu selepas mengalami masalah komplikasi jantung.

“Doktor memaklumkan bahawa ubat yang diberikan untuk ‘support’ jantungnya sudah pada tahap maksimum dan rawatan dialisis juga tidak boleh dilakukan kerana keadaan jantung yang lemah. Sebelum ini, Allahyarham ada menyebut mahu dikebumikan di Johor Bahru. Jadi, kita tunaikan hajatnya untuk bawa pulang ke rumah di Stulang Baru,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Shahril Hafiz memberitahu, Allahyarham menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Darussalam di Kampung Stulang Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini kira-kira 11.30 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak berusia antara 48 hingga 18 tahun serta empat cucu berumur 18 hingga dua tahun.

Ahmad menggantikan Tan Sri Jaffar Hussein sebagai Gabenor Bank Negara dari Mei 1994 hingga Ogos 1998.

Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pengerusi Alliance Bank Malaysia Berhad dan berpengalaman luas dalam bidang kewangan serta perbankan dan pernah berkhidmat di Pernas Securities Sdn. Bhd., Permodalan Nasional Berhad dan Malayan Banking Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN