MERSING: Sebuah keluarga cemas apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap kira-kira setengah jam di dalam sebuah kereta di Kampung Tanjung Genting, Jalan Engku Hashim, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 11.39 pagi memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta Perodua Alza.
“Difahamkan kanak-kanak itu terkunci sendiri di dalam kereta tersebut ketika keluarganya sedang sibuk mengangkut barang-barang untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
“Mereka dari Terengganu datang ke Mersing untuk menziarahi saudara. Kanak-kanak itu terperangkap kira-kira 30 minit sebelum keluarga menghubungi pihak bomba meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, tujuh anggota bomba berjaya membuka pintu kereta dan mengeluarkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan dalam tempoh tujuh minit.
Pasukan bomba menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kunci kereta sentiasa berada dalam kawalan untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. – UTUSAN