Keluar mengundi, cetus kebangkitan baharu tolak Kerajaan Perpaduan - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Keluar mengundi, cetus kebangkitan baharu tolak Kerajaan Perpaduan – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin berucap dalam ceramah kelompok di PDM Taman Ehsan, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Perikatan Nasional (PN) menyeru para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada 28 September ini, sekali gus mencetuskan gelombang baharu kebangkitan rakyat menolak Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, PN akan menang sekirannya peratusan yang keluar mengundi tinggi.

Menurutnya, gelombang itu merupakan satu isyarat dihantar rakyat yang akan diteruskan sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kita nak beri isyarat kepada Anwar Ibrahim, kamu jangan ambil tindakan sewenang-wenangnya, buat sesuka hati, buat dasar yang membawa beban kepada rakyat.

“Jadi di sinilah, di (PRK DUN) Mahkota bermula gelombang baharu. Kita tentukan bermula satu gelombang baharu berterusan sampai PRU16.

“Ini supaya Johor boleh kita tawan semula (pada pilihan raya negeri nanti) dan di Malaysia pun kita pernah (PN memerintah) dan kita akan tawan semula,” katanya berucap dalam ceramah kelompok di Taman Ehsan, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap para pengundi PRK DUN Mahkota membuat pilihan tepat.

“Minta kerjasama tuan-tuan keluar mengundi terutamanya orang Melayu, orang Cina tak payah cerita kerana tadi saya sudah berjumpa wakil dewan perniagaan Cina.

“Mereka nyatakan tidak puas hati dengan keadaan ekonomi sekarang ini, mereka banyak terkesan, dia kata akan keluar mengundi dan kita harap dia akan sokong (PN),” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kerusi itu yang dimenangi Sharifah Azizah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, manakala PN mencalonkan bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya