KelSDeaf tekad rangkul emas kejohanan futsal

KelSDeaf tekad rangkul emas kejohanan futsal

PASUKAN Futsal Orang Pekak Kelantan menggayakan jersi rasmi pasukan pada Majlis Penyerahan Jersi Rasmi Pasukan Futsal Orang Pekak Kelantan di Kubang Kerian, di sini hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) tekad muncul juara sekali gus meraih emas dalam acara futsal pada
Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Keempat di Kuala Terengganu yang bermula 6 September ini.

Presidennya Saiful Helmie Dzamani berkata, pasukan yang ditubuhkan sejak 2014 itu merupakan juara bertahan selepas merangkul pingat emas pada tiga edisi sebelum ini, iaitu pada tahun 2016, 2017 dan 2019.

Menurutnya, bagaimanapun selepas itu pasukan futsal masih belum dapat menuai kilauan emas.

“Insya-Allah dengan usaha keras dan semangat berpasukan, kami yakin tahun ini futsal dapat kembali ke landasan sebenar untuk merangkul emas.

“Pencapaian terbaik futsal setakat ini adalah muncul pasukan keempat terbaik kejohanan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jersi Pasukan Futsal Orang Pekak Kelantan di Dewan Neo Medicare di Kubang Kerian, di sini hari ini.

Saiful Helmie memberitahu, pada masa sama KelSDeaf menyasarkan untuk muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Malaysia Kali Ke-11 yang akan berlangsung pada 29 September sehingga 5 Oktober nanti di Kuantan, Pahang.

Katanya, sebelum itu pasukan bola sepak pernah dua kali merangkul pingat emas dalam kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) pada tahun 2016 dan 2018.

“Kami mahu menguar-uarkan kejayaan ini ke seluruh negeri kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak tahu mengenai kewujudan KelSDeaf walaupun kami mempunyai aktiviti pada setiap tahun.

“Tujuannya adalah untuk menarik sumbangan daripada mana-mana individu, syarikat atau NGO untuk membantu menaikkan sukan orang pekak Kelantan ke persada kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.

Saiful Helmie berkata, kedua-dua kejohanan itu merupakan persedian untuk ke kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia ke-21 (SOPMA XXII) pada tahun 2025 di Kuching, Sarawak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN