KOTA BHARU: Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menyasarkan Kelantan Warriors menjadi empat pasukan terbaik dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier yang bermula 11 September sehingga 2 November nanti.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sekiranya sasaran itu mampu dicapai ia boleh dianggap sesuatu yang besar buat Kelantan Warriors selaku pendatang baharu dalam saingan STL Premier musim ini.
Menurutnya, bagaimanapun barisan pemain mengimpikan untuk merangkul kejuaraan saingan itu nanti.
“Kita (Kelantan Warriors) akan bergerak ke arah itu (menjadi juara). Saya yakin dengan ramuan pemain dan semangat yang ditunjukan semasa bangkit Selangor Pistons 2-1 pada aksi final STL Divisyen 1 di Melaka baru-baru ini dapat diteruskan dalam saingan STL Premier,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Kelantan Warriors 2024, di sini malam tadi.
Abdul Fattah memberitahu, berharap rakyat Kelantan yang berada di Lembah Klang dapat turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada Kelantan Warriors.
Katanya, Kelantan Warriors yang diundi dalam kumpulan A akan membuka saingan menentang Kuala Lumpur Thunders di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor esok pada pukul 8 malam.
Sementara itu Zamakhshari berkata, kejayaan Kelantan Warriors memberikan kegembiraan buat arena sukan di Kelantan selepas kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) menduduki tangga kedua tercorot sepanjang tiga tiga edisi berturut-turut selain prestasi terumbang-ambing Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam saingan Liga Super.
“Kejayaan Kelantan Warriors memberi harapan baharu untuk pembangunan sukan di Kelantan.
Kerajaan negeri memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Gastak dalam memastikan persiapan pasukan untuk mengaharungi STL Premier
“Kita turut berharap selepas ini Gastak akan bekerjasama dengan Urusetia Belia dan Sukan (UBeS) untuk merencana pembangunan sukan sepak takraw di negeri ini. Kita sudah menyediakan peruntukan untuk tujuan itu,” ujarnya.