JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini menetapkan 20 Oktober depan bagi sebutan semula kes dihadapi bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kontraktor yang didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Hakim Hazelia Mohammad menangguhkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid dan Lina Hanani Ismail memaklumkan masih belum menerima beberapa lagi laporan pakar berkaitan kes itu.
Menurut pihak pendakwaan, antara laporan yang masih belum diterima adalah laporan forensik, lengkap ideologi, beberapa laporan terhadap buku-buku fizikal yang dimiliki tertuduh, perbualan WhatsApp dan video yang dimiliki mereka
Mahkamah turut memerintah kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebaik sahaja semua dokumen lengkap diterima pihak pendakwaan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh, Abdullah Daud, 70, dan Mohamad Awang, 48, tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen kira-kira pukul 8.30 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.
Abdullah dibawa menaiki kerusi roda yang disorong oleh anggota polis memasuki kamar mahkamah.
Pada 21 Julai lalu, Abdullah didakwa menggalakkan berlakunya perbuatan pengganas dengan cara menanam fahaman ideologi keganasan berkaitan kumpulan pengganas IS serta memiliki dua buku bertajuk ‘Hakikat Dienul Islam’ dan ‘Tarbiyah Jihadiyah’ yang juga bahan berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS.
Warga emas itu turut didakwa memiliki dua buku digital dan dua video bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dalam telefon bimbitnya selain membenarkan perjumpaan diadakan dalam rumahnya untuk menyokong aktiviti keganasan di i sebuah rumah di Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini antara 3 September tahun lalu hingga 28 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 130G(a) dan Seksyen 130H(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucutkan hak bahan-bahan berkenaan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Mohamad didakwa memiliki bahan yang berunsur keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dalam telefon bimbit dan komputer riba miliknya di rumahnya di Taman Daya, di sini pada pukul 7.05 pagi, 23 Jun lalu.
Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN