KOTA BHARU: Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan (Pesak) mendakwa kebocoran pada paip cerucuk di rumah pam utama di Stesen Pam Kemubu milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang berlarutan menjadi punca mereka tidak dapat mengusahakan tanaman padi musim ini selain faktor kemarau.
Pengerusinya, Zuha Ismail berkata, kebocoran menyebabkan air yang sepatutnya masuk ke dalam paip berkenaan untuk disalurkan ke petak-petak sawah terus mengalir ke sungai dan laut.
“Sebenarnya masalah pengairan sawah padi ini sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu. Jadi kami amat berharap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat membentuk kerjasama yang baik untuk menyelesaikan masalah ini.
“Ia telah berlarutan sekian lama dan berapa lama lagi kami perlu menunggu untuk ia diselesaikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zuha memberitahu, sekiranya masalah itu terus berlaku berkemungkinan besar para pesawah terpaksa mengubah laluan dengan melakukan pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, Pesak menuntut janji peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mei lalu demi membantu 7,100 pesawah sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Ujarnya, peruntukan tersebut adalah untuk membeli 20 unit pam mudah alih bagi membantu mengatasi masalah pengairan di sawah-sawah padi terlibat.
“Kami berharap agar Perdana Menteri menunaikan janjinya dan mempercepatkan peruntukan tersebut demi kepentingan kesemua pesawah padi di tiga kawasan berkenaan. Masalah pengairan ini perlu diselesaikan segera sebelum penanaman musim dua 2024 bermula.
“Kami tidak boleh memulakan penanaman padi musim dua tahun ini jika masalah pengairan tidak diselesaikan kerana sudah tidak sanggup menanggung kerugian,” katanya.
Zuha berkata, pada musim satu 2024 hanya 25 peratus daripada 2,645 hektar kawasan jelapang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dapat diusahakan akibat masalah pengairan selain turut terkesan dengan keadaan kemarau berpanjangan.
“Keadaan itu telah menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah sekitar RM32 juta. Kami memang tidak dapat mengutip hasil padi sepenuhnya pada musim satu lalu kerana kebanyakan pokok padi mengalami kerosakan.
“Situasi ini juga telah mendorong lebih 30 peratus pesawah beralih kerjaya daripada pertanian jelapang kepada lain-lain pekerjaan termasuk menjadi buruh kasar,” katanya.-UTUSAN