KBS serah kepada FAM selesai kemelut Liga M

KBS serah kepada FAM selesai kemelut Liga M

ADAM Adli Abd. Halim (tengah) mengendalikan sesi townhall Jelajah JOM Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad (kanan) di YIK Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan kemelut gaji yang menghantui pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, KBS memandang serius perkara itu dan berpendirian untuk tidak campur tangan sebaliknya menerahkan kepada FAM sekalu badan induk untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Kita memang ada membuat perbincangan dari masa ke semasa dengan FAM. KBS sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkenaan dan mengambil tahu sedikit sebanyak mengenai permasalahan yang berlaku dalam arena bola sepak Malaysia.

“Sudah pasti KBS mempunyai kebimbangan tersendiri tetapi kita serahkan kepada FAM untuk selesaikan,” katanya pada sidang media selepas sesi townhall Jelajah Jumpa Orang Muda (JOM) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad di Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tunjong, di sini hari ini.

Adam Adli memberitahu, kerajaan tetap memberikan sokongan terhadap pembangunan sukan bola sepak tempatan.

Bagaimanapun katanya, soal pengurusan kelab bola sepak dan sebagainya adalah perkara yang cukup rumit untuk menanti penyelesaian daripada pihak kerajaan.

“Jadi kita serahkan kepada FAM dan pengurusan-pengursan kelab masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada semua permasalahan yang menyelubungi arena bola sepak tempatan.

“Adakah kerajaan ambil berat? Ya. Adakah kita berasa selesa? Tidak. Kita akui masalah itu berlaku dan kita harap boleh dapat penyelesaian yang bertanggungjawab daripada semua pihak terlibat,” ujarnya.

Utusan Online sebelum itu melaporkan, penganalisis sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli menggesa supaya penswastaan kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) dikaji semula.

Menurutnya, model penswastaan yang dilaksanakan kini tidak membawa perubahan positif yang diharapkan dan sering kali menyebabkan masalah kewangan serius kepada pasukan-pasukan tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN