Kawal kelantangan pembesar suara, UUK Beca disambut baik

Kawal kelantangan pembesar suara, UUK Beca disambut baik

SEORANG pengayuh beca membawa pelancong melalui pekarangan Muzium Rakyat, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Undang-undang Kecil (UUK) Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024 yang bakal dilaksanakan bermula tahun depan menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap petisyen dikemukakan masyarakat berhubung isu-isu berkaitan imej, pencemaran bunyi dan reputasi beca Melaka.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Cassel Krishnan berkata, salah satu peraturan yang perlu disambut baik adalah kewajipan mengurangkan kelantangan pembesar suara yang dipasang atas beca.

CASSEL KRISHNAN

Ujarnya, ini kerana di zon warisan contohnya, rumah ibadat pelbagai agama mengadakan upacara secara berkala, justeru adalah penting buat semua yang lalu-lalang terutamanya pengayuh beca mematikan pembesar suara apabila berada berhampiran kawasan berkenaan.

“Langkah ini akan membantu mengekalkan keamanan dan rasa hormat yang menjadi teras kepada masyarakat Melaka yang pelbagai dan harmoni.

“Pada tahun lepas, sekumpulan rakyat yang prihatin telah mengemukakan petisyen yang menekankan isu-isu berkaitan imej, pencemaran bunyi, dan reputasi beca Melaka. Saya gembira melihat bahawa suara mereka telah didengar, menghasilkan penggubalan peraturan baharu oleh MBMB pada tahun ini.

“Beca Melaka merupakan simbol ikonik bagi negeri kita dan adalah penting untuk kita memelihara serta meningkatkan peranannya dalam industri pelancongan. Peraturan yang ketat penting untuk memastikan pengalaman pelancong yang berkualiti tinggi, sambil menangani kebimbangan penduduk tempatan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dilaporkan berkata, pengayuh beca yang merupakan antara ikon pelancongan negeri bakal berwajah baharu, tahun depan.

Katanya, MBMB akan menyaring dan menemu duga setiap pengayuh beca berdaftar sebelum mengeluarkan lesen baharu kepada mereka.

Jelasnya, bukan sahaja menjaga aspek pemakaian pengayuh beca, bahkan pemilihan lagu dan muzik yang dipasang turut diberi perhatian termasuk mengawal kelantangan supaya tidak bingit dan mengganggu pelancong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya