Kaunter agensi negeri, Persekutuan di Melaka buka waktu rehat

Kaunter agensi negeri, Persekutuan di Melaka buka waktu rehat

AB. RAUF Yusoh berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di MITC Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kaunter perkhidmatan pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan tidak akan ditutup pada waktu rehat sebaliknya beroperasi seperti biasa bermula 1 Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau telah memberikan arahan agar operasi kaunter diteruskan pada waktu rehat yang mana penugasan kakitangan dibuat secara penggiliran.

Katanya, perkhidmatan kaunter tidak sepatutnya membebankan rakyat yang perlu menunggu sehingga waktu rehat tamat bagi menyambung semula urusan mereka.

“Kita harus melayani rakyat agar urusan mereka dipermudahkan. Saya telah mohon dan berikan arahan agar semua kaunter kerajaan negeri terus beroperasi pada waktu rehat yang akan diuruskan secara penggiliran oleh pegawai yang bertugas.

“Maksudnya siapa yang datang ke Melaka untuk urusan kaunter kerajaan negeri atau Persekutuan boleh menjalankan urusan pada waktu rehat. Saya tidak mahu rakyat menunggu lama pada waktu rehat sedangkan kerja itu boleh diuruskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengenai integriti penjawat awam, Ab. Rauf berkata, beliau mahu nilai tersebut dipelihara bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.

Tegasnya, penjawat awam perlu cakna dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) iaitu undang-undang yang mengklasifikasikan maklumat kerajaan sebagai rahsia rasmi.

“Saya mengambil serius perkara ini dan insiden kebocoran maklumat rahsia rasmi melalui aplikasi media sosial tidak sewajarnya berlaku. Semua ketua jabatan perlu sentiasa mengingatkan dan menegaskan perkara ini kepada pegawai serta kakitangan di bawah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat membocorkan maklumat rahsia rasmi kerajaan melalui peruntukan undang-undang sedia ada atau tindakan tertib di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN