Kanak-kanak tiga tahun disyaki didera, suami isteri ditahan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak tiga tahun disyaki didera, suami isteri ditahan

SEORANG lelaki disyaki didera dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun selepas menerima maklumat daripada Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan pada pukul 1.50 pagi tadi di pekarangan hospital berkenaan.

Sebelum itu pihak polis menerima panggilan daripada seorang doktor yang bertugas di Wad Kecemasan pada pukul 9.50 malam semalam. 

“Pihak hospital telah menerima seorang pesakit, iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang mempunyai kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai didera. Semakan mendapati kedua-dua tahanan yang juga warga tempatan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif daripada sebarang pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN