Kajian dakwa GISBH terlibat ajaran sesat ditentukan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor - Utusan Malaysia

Kajian dakwa GISBH terlibat ajaran sesat ditentukan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Harta
ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Semua hasil kajian dan perbincangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Azizi Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah memulakan kajian berhubung pembabitan GISBH dalam penyebaran dan amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sejak 2020.

Menurut beliau, perkara berkenaan juga sudah dibincangkan secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa Mais sebelum tangkapan dan siasatan dilakukan polis baru-baru ini.

“Bagi memutuskan persoalan berhubung pembabitan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran dan amalan ajaran menyeleweng daripada agama Islam sebenar, Mais mengarahkan semua hasil kajian serta perbincangan dibuat sebelum ini dikemukakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Ia supaya persoalan berkaitan hukum syarak ini dapat diputuskan dengan segera oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil kajian itu juga merangkumi isu pembabitan GISBH dalam ajaran kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya yang sudah difatwakan haram di Selangor pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.

“Tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Mais menyatakan komitmen jitu untuk membanteras isu akidah termasuk penyebaran ajaran menyeleweng daripada ajaran Islam berleluasa di Selangor,”jelasnya.

Menurut beliau, Mais serta semua agensi hal ehwal Islam di Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH, rangkaiannya atau mana-mana pihak lain terbabit dengan kesalahan akidah.

“Gerakan bersepadu antara semua agensi berkaitan akan diperhebat untuk memastikan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah itu mengikut undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN