KOTA BHARU: Seorang jururawat sebuah pusat jagaan berpantang mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini pertuduhan mendedahkan seorang bayi lelaki yang baru berusia 30 hari sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan pada minggu lalu.
Tertuduh, Nur Ain Natasha Mohd. Sabri, 22, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki iaitu Choo Jyn Hern yang berusia 30 hari telah mendedahkan bayi itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan.
Nur Ain Natasha didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 September lalu di sebuah pusat jagaan berpantang di Jalan Sultan Yahya Petra di sini kira-kira pukul 4.47 pagi hingga 5.30 pagi.
Wanita berkenaan didakwa
mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakil peguam, Nur Alini Ahmad Kamil.
Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan jaminan kerana kes tersebut melibatkan kesalahan serius selain memohon mahkamah mengambil kira kepentingan mangsa, keluarga dan orang awam.
Bagaimanapun, Nur Alini dalam rayuannya memohon satu ikat jamin yang minimum kerana tertuduh sudah memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan.
Nur Alini semasa penguhajahannya berkata, tertuduh yang masih bujang dan tinggal di rumah pusaka keluarganya sudah bekerja di pusat berpantang itu selama setahun dengan pendapatan RM9 sejam atau secara purata RM2,200 sebulan.
“Saya percaya tertuduh tidak akan melarikan diri dan memberi kerjasama untuk hadir ke mahkamah pada prosiding perbicaraan sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, seorang bayi lelaki berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaganya di sebuah pusat jagaan berpantang di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, bayi itu disahkan meninggal dunia semasa dibawa ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) di sini untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, bapa kepada bayi berusia 30 hari mendakwa anaknya meninggal dunia bukan akibat tersedak susu sebaliknya dikasari oleh jururawat semasa berada di sebuah pusat jagaan berpantang di sini kelmarin.
Choo Kamin, 30, berkata, kisah sebenar itu terbongkar selepas dia melihat sendiri perlakuan jururawat berkenaan menerusi rakaman televisyen tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.
“Difahamkan, anak kami (Choo Jyn Hern) tidak menyusu dan tidur bersama jururawat tersebut di atas sofa di dalam sebuah bilik di pusat jagaan itu pada malam kejadian.
“Ketika itu, saya dan isteri sedang tidur di bilik sebelah sebelum dimaklumkan jururawat tersebut bahawa anak kami tidak sedarkan diri pada waktu pagi,” katanya.-UTUSAN