KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 55 buah kenderaan dari Thailand Operasi Khas Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang dijalankan di seluruh negeri ini bermula 5 September lalu hingga semalam.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang operasi 17 hari ini agensi itu telah memeriksa sebanyak 484 buah kenderaan.
“Intipan dan risikan selama seminggu mendapati kenderaan-kenderaan dari Thailand dipandu sama ada oleh warga negara Thailand atau tempatan memasuki negara ini secara haram tanpa ICP atau ICP tamat tempoh, tiada insurans, tiada lesen memandu dan pelbagai kesalahan teknikal.
“Operasi dilaksanakan menggunakan strategi Sekatan Jalan Raya (SJR) serta rondaan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti melebihi jarak 2 km dari pintu sempadan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Operasi Khas ICP di ibu pejabat JPJ Kelantan, Panji, di sini hari ini.
Muhammad Kifli memberitahu, sepanjang operasi itu kesalahan paling serius yang dikesan ialah kenderaan dari Thailand yang memasuki negara ini tidak didaftarkan ICP.
Katanya, selain itu warga Thailand turut dikesan mengambil kesempatan daripada kelonggaran untuk memasuki Malaysia sejauh dua kilometer (km).
“Bermakna mereka telah menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan untuk memasuki negara ini melebihi jarak tersebut. Satu lagi kesalahan serius dilakukan adalah kenderaan didaftarkan ICP tetapi berada dalam Malaysia melebihi tempoh dibenarkan.
“Untuk makluman, kenderaan asing yang diberikan permit ICP dibenarkan masuk ini dan beroperasi dalam negara ini selama 90 hari tetapi hasil risikan mendapati terdapat kenderaan yang ditahan telah berada dalam Malaysia lebih tiga tahun dan digunakan secara berleluasa tanpa pulang ke negara asal,” ujarnya.
Muhammad Kifli berkata, pada masa sama pemilik kenderaan asing yang berada dalam negara ini telah menggunakan nombor pendaftaran bertulisan rumi.
Katanya, pemeriksaan mendapati, nombor dilekatkan pada badan kenderaan tidak sama seperti didaftarkan di negara mereka.
“Untuk kesalahan ini JPJ telah mengambil tindakan di bawah Subseksyen 108 (3)(e) atas kesalahan membuat pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam operasi kali ini sebanyak 104 kenderaan telah diambil tindakan daripada keseluruhan 211 motosikal, 98 kereta, 105 trak pikap dan 70 van yang diperiksa atas pelbagai kesalahan. JPJ juga telah mengeluarkan sebanyak 215 sama melalui operasi ini,” ujarnya.
Tambahnya, JPJ akan mengarahkan semua negeri bersempadan Thailand untuk menguatkuasakan peraturan berkaitan ICP manakala bagi Johor, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan melancarkan penguatkuasaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (RCVEP) pada 1 Oktober nanti.-UTUSAN