JPJ perluas kawasan operasi bersepadu, buru pemandu lori ambil dadah Utusan Malaysia

JPJ perluas kawasan operasi bersepadu, buru pemandu lori ambil dadah

ANTHONY Loke Siew Fook dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika hadir pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan kawasan bagi pelaksanaan operasi bersepadu bagi mengesan pemandu-pemandu kenderaan berat seperti lori yang melanggar peraturan jalan raya termasuk positif mengambil dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini JPJ telah melaksanakan operasi berkenaan dengan menyasarkan pemandu bas ekspres serta bas persiaran dan hasilnya ramai pemandu telah dikesan positif dadah.

“Sekarang kita sedang fokus kepada kenderaan perdagangan dan berat, memang perkara ini diberikan perhatian yang cukup berat oleh pihak JPJ dan operasi yang lebih ketat akan diadakan untuk memastikan bahawa pemandu yang bawa kenderaan berat ini mematuhi peraturan.

“Sebelum ini memang sudah dilaksanakan operasi bersepadu terhadap kenderaan berat cuma sebelum disasarkan di beberapa kawasan perindustrian, selepas ini akan operasi akan diperluaskan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian kepada pemberita selepas  merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian dua kemalangan maut di daerah ini baru-baru ini yang melibatkan dua buah lori yang merempuh beberapa buah kenderaan lain.

Hasil siasatan polis seterusnya mendapati kedua-dua pemandu lori terbabit turut positif dadah jenis methaphetamine.

Anthony Loke dalam pada itu turut mengingatkan syarikat lori yang terlibat dalam kejadian seumpamanya termasuk membenarkan individu positif dadah memandu kenderaan terbabit turut tidak terlepas untuk diambil tindakan undang-undang.

“Mana-mana syarikat yang membenarkan pemandu yang positif dadah ini memandu dan mengakibatkan kemalangan juga akan diambil tindakan, bukan sahaja pemandu tetapi pemilik syarikat juga.

“Ini telah kita buat dalam kes (kemalangan) bas persiaran di Genting Highlands, bukan hanya pemandu dituduh di mahkamah malah pemilik syarikat juga dituduh ke mahkamah kerana kecuaian mereka.

“Saya mahu ingatkan kepada pemilik syarikat bahawa mereka ada tanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka ini berhemah dan tidak menyalahgunakan lesen memandu mereka. Paling penting memandu dengan berhemah, sebagai pemandu yang baik dan bukan terbabit dengan dadah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN